Mar 22 2009
We can wait. But Time will NOT
Di rumah flat ini, kalau tv tidak dihidupkan. Jika komputer tidak dipasang, jika lagu tidak dimainkan. Jika hanya sepi dibiarkan menyelubungi. Hanya bunyi kipas berputar dapat didengar. Sambil minum teh, maman akan boleh mendengar burung berkicau di jendela. Tenang.
Seolah-olah masa berhenti berjalan. Jarang dapat menikmati saat-saat seperti ini kerana jadual harian yang tidak pernah sunyi dengan bermacam-macam aktiviti.
Walaupun kadang-kadang kita letih asyik terkejar-kejar seperti bertarung dalam satu perlumbaan masa, realitinya masa tetap berdetik. Ianya tetap berjalan. Jika ia adalah perlumbaan, masa selalunya akan menang. Kita biasanya akan tewas.
Tetapi ada masanya, maman merasakan kehidupan ini seolah-olah terhenti. Seperti maman berhenti membaca novel di pertengahan cerita tanpa menghabiskannya. Atau seolah-olah maman menekan punat PAUSE ketika menonton DVD.
Pada ketika ini, diri terasa tidak produktif. Maman merasakan tidak melangkah kemana-mana. Tiada perkembangan yang positif. Statik. Semua yang diusahakan seolah-olah bertemu jalan buntu. Sepertinya mahu menjerit “baik tidak perlu dimulakan pada awalnya!”.
Pun begitu, manisnya waktu-waktu seperti ini adalah untuk hanya menikmatinya. Kerana masa seperti ini sesuai untuk bermuhasabah diri. Juga untuk berhadapan dengan satu kenyataan yang pahit untuk diterima iaitu esok hari Isnin.
.Lantas memulakan semula rutin menyambut hari isnin seperti biasa.
Itulah kuasa masa, ia berjalan tanpa henti walau apa pun yang berlaku pada kita isi bumi ini. Selain Allah, siapa ada kudrat untuk anjakkan atau berhentikan masa?
Apa pilihan ang kita ada?. Life must go on.
Food for thought : We can wait but time will not.




