Aug 28 2011
Kesayangan Allah dan Rasulullah.
Maman tiba-tiba teringat kata-kata yang pernah dilontarkan oleh Ustaz Fauzi semasa beliau datang di Great Eastern untuk memberikan ‘talk’ sebelum kedatangan bulan Ramadhan dahulu. Beliau mengatakan, mulianya kerja sebagai agen takaful ini ialah apabila anda adalah orangnya yang akan membantu keluarga yang ditimpa kesusahan. Anda membantu anak-anak yatim yang kehilangan ayah dan anda membantu ibu tunggal yang kehilangan suami. Maman ringkaskan lebih kurang begini, apabila klien kita yang merupakan ketua keluarga meninggal, kitalah orangnya yang akan menghulurkan cek RM100,000 (sebagai contoh) kepada waris untuk anak yang telah menjadi anak yatim dan isteri yang telah berstatus ibu tunggal untuk meneruskan kehidupan. Susunan yang sangat indah dan mulia bukan?.
Namun, dalam maman sentiasa mendoakan semua klien maman dikurniakan panjang umur dan sentiasa sihat, dalam hidup kita ini, berpisah dengan orang tersayang kerana bercerai nyawa pasti akan terjadi. Hanya bila dan bagaimana yang kita tidak pasti. Apabila detik itu datang, satu saat pun tidak boleh kita anjakkan.
Maman kehilangan ayah, Allahyarham Tuan Haji Mahfoz, ketika maman sudah mencecah usia 20 tahun. Setiap kali syawal menjelma, ketiadaan beliau amat terasa.
Namun begitu, kehilangan tersebut tidak mungkin setanding jika beliau pergi meninggalkan maman tatkala usia masih kanak-kanak. Bagaimanakah agaknya gambaran hari-hari yang terpaksa ditempuh? Bagaimana membuat persiapan raya tanpa seorang bapa? Bagaimanakah rasanya jika tidak berpeluang dipimpin oleh ayah kandung ke masjid menunaikan solat sunat aidilfitri sedari kecil lagi?
Bagaimana pula jika kita yang pergi dahulu meninggalkan anak dan isteri?
Bagaimanakah kocak rasa yang ditinggalkan?
Antaranya begitulah perasaan yang meresap bila maman menjejakan kaki di PERTUBUHAN KEBAJIKAN DAN PENDIDIKAN ASNAF MURNI ( Rumah Asnaf Murni) yang terletak di Taman Nusari Bayu 2, Bandar Sri Sendayan
Seremban 2 Negeri Sembilan. Rumah ini didiami oleh anak-anak yatim dan ibu tunggal.
Inisiatif kumpulan We Heart All telah membawa maman kesini. Kami meluangkan masa untuk membawa anak-anak membeli pakaian raya baru dan persiapan Aidilfitri bagi anak-anak yang dikurniakan Allah hati yang tabah ini.
Setiap peserta akan membawa seorang atau dua anak untuk bershopping. Adik Saiful dan Naseem berusia 7 tahun diserahkan dibawah jagaan maman.
Menggengam tangan kecil mereka dan melayan sendiri kelatah mereka semasa meminta dibelikan baju raya, kasut raya Ben10, spek mata, jersi bola, t-shirt dan melihat mereka begitu seronok, maman pasti anda juga akan mudah tersentuh. Ada juga yang terkencing dalam seluar pun ada (mujur anak jagaan yang terkencing, bukan yang membawa). Nah, kini anak-anak ini bakal tampil bergaya Aidilfitri ini tidak kalah seperti rakan-rakannya yang lain.
Selesai membeli belah, tengahari itu maman pulang ke KL dengan doa semoga anak-anak kesayangan Allah itu dipermudahkan perjalanan hidupnya.
Menulis entri ini bukan untuk tunjuk baik, tetapi sebagai satu seruan buat semua yang membaca blog maman untuk mengambil bahagian kerana masih ramai insan diluar sana yang kita perlu lihat dengan mata hati. Walaupun selama ini kita sudah banyak saksikan di kaca tv dan dada akhbar, tetapi mungkin sekadar cebisan berita yang jarang kita ambil serius dan berlalu serentak dengan masa. Kalaupun mereka tidak minta simpati tetapi perhatian kita sedikit sebanyak, maman percaya mengubat sedikit serpihan-serpihan kasih yang hilang disaat-saat ianya sangat diperlukan. Maman ada tips mudah, terbitkan rasa ‘bagaimana jika ia berlaku pada darah daging sendiri?’. Jika anda berminat dan tidak mahu dimana anda ingin mulakan, sertai FB kami di We Heart All. Mungkin ada perkongsian pengalaman dari ahli yang lain dapat membuka hati anda.
Lagipun bukankah kita juga telah tahu bahawa Nabi Muhammad sendiri adalah anak yatim. Anak-anak yatim dan fakir miskin adalah anak-anak kesayangan Allah dan Rasullullah.
Rasulullah saw bersabda : ”Siapa yang memakaikan seorang anak pakaian yang indah dan mendandaninya pada hari raya, maka Allah SWT akan mendandani/menghiasinya pada hari Kiamat. Allah SWT mencintai terutama setiap rumah, yang di dalamnya memelihara anak yatim dan banyak membagi-bagikan hadiah. Barangsiapa yang memelihara anak yatim dan melindunginya, maka ia akan bersamaku di surga.”
Nabi juga menjanjikan bagi mereka yang membelai rambut anak yatim dengan ganjaran yang banyak. Sabda beliau : “Barang siapa yang membelai rambut anak yatim, maka setiap rambut yang diusapnya menjadi kebaikan baginya. Dan barang siapa yang berbuat baik kepada anak yatim baik lelaki maupun perempuan, aku akan bersamanya di syurga sebagaiman dua jari ini”. (H.R Ahmad dan lainnya).
Wallahualam.
Selamat Menyambut Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.






Thanks Maman dan Amir sebab sudi join. Tahun kedua Maman join program yang sama. Usaha kita yang sedikit ini insya’ Allah memberi kebahagiaan buat mereka
no prob. next prog invitation insyaAllah join lg. Kita sesama promotekan page WHA untuk dptkan lebih ramai volunteer.
Alhamdulillah all went well!!
Good job guys and gals..
Alhamdulillah MeTot.. huhu