Sep 22 2009

Hadiah Aidilfitri

Published by maman at 10:08 pm under CurHatKu

Seperti biasa, takbir raya selalunya jarang gagal untuk membuatkan hati maman basah. Menyerap rasa kebesaran Tuhan menjadikan maman lantas tergesa-gesa menatap dosa-dosa silam yang telah maman lakukan. Inilah saat-saat Aidilfitri yang memberi makna besar bagi maman.

Raya maman lalui dengan seadanya. Tiada belanja besar. Sekadar baju raya sehelai, beli ayam dan bahan masak, duit rayauntuk anak buah. Selebihnya hanyalah belanja minyak dan juga tol.  Selain dari itu maman tak beli apa-apa. Maman simpan untuk menjalani hidup bulan October yang tidak kurang getirnya.

Dalam tidak sedar, raya menemukan ahli keluarga yang sudah lama maman tidak berjumpa. Bagai tidak percaya bila Ngah mengatakan kali terakhir berjumpa adalah pada hari raya tahun lepas. Tetapi itulah kenyataannya. Long juga sudah lama benar maman rasa tidak bersua. Hari itu melihat anak buah maman yang sudah selamat kembali daripada India itu merupakan anugerah Aidilfitri yang paling berharga bagi keluarga kecil ini. Bila emak puas dapat menatap, mencium dan bertanyakan khabar dengan cucunya itu, maman tahu hatinya sudah tenang. Kata orang jawa : Ayem.

Alhamdulilah.

Hari itu, Long memanggil kami adik-adiknya ke dalam bilik. Setiap seorang diberikan Rm100. Long membahagikan hasil kebun sawit bulan ini. Walaupun jumlahnya tak seberapa. Tetapi makna yang dibawa olehnya bisa meruntun jiwa.

“Ini lebihan duit setelah ditolak bahagian mak. Long dah suruh mak ambik semua sebab nak raya ni kan banyak gunakan duit, tapi mak yang suruh bahagi-bahagikan untuk anak-anak. Mak kata mana tahu ada yang perlukannya walaupun ini mungkin tak banyak. Biar semua rasa. Kata mak lagi anggap ni hadiah duit raya arwah bapak”

Hiba menerpa relung hati bertubi-tubi sama sepertimana sms raya berebut-rebut memenuhi inbox menjelang 1 Syawal.  Siapa sangka, keputusan bapa untuk menanam kelapa sawit suatu masa dulu, mengalirkan pendapatan tak henti walaupun kini dia sudah tiada.  Secara alami, sekilas wajah arwah bapa terpancar diruang ingatan. Jika yang mati masih boleh hadiahkan sesuatu kepada yang hidup ini, apakah pula yang telah maman hadiahkan kepada yang sudah tiada?. Rasa bersalah menjentik-jentik hati.

***

Kakak maman yang pandai menjahit itu menyediakan segala keperluan langsir dirumah pusaka ini. Ada langsir yang banyak ropolnya itu menarik perhatian maman. “Ni bukan langsir, ni dah macam pelamin” maman berseloroh.

Tiba-tiba laju Kak Long menjawab “ Ya lah. Cuma tinggal letak 2 kerusi depan langsir tu. Maman dah ada ke belum calonnya?”

Dalam satu keadaan yang lain, hari sudah agak malam ketika balik beraya dari Pontian. Kereta maman terhoyong-hayang kerana maman mengantuk semasa memandu (mujur tidak dream and drive). Emak yang duduk disebelah sangat risau lantas dia melayanlah meneman maman berborak agar maman tidak mengantuk. Dan maman betul-betul hilang mengantuk bila emak cakap ;

“owalah, iki tenan keneng ngolek konco. Konco wedok seng iso drebal ngono. Ngko keneng gentenan drebal lungo KL. Wes eneng le?”

Alihbahasanye : “aduhai.. ini betul kena cari kawan ni. Kawan perempuan yang pandai memandu kereta. Nanti kalau balik KL boleh drive ganti-ganti. Dah ada ke Nak?” (*nak disini spt berkata “dah ada ke wahai anak?” camtu)

Dalam sedara mara yang berkunjung pula, hampir kesemua melontarkan soalan “Maman bila pula?”. Kalau ada statistik mungkin mencecah 95% yang bertanya.

Dalam semua keadaan ini, satu jawapan kepada semua (aik.. mcm konsep 1 Malaysia. Hehe) ;

“Insya Allah. Doakan sahaja cepat dapat jodoh”

Jodoh ni sama macam rezeki. Ada yang mengaturkannya. (btw ermm.. dah tua sgt ke maman ni?)

P/S: Maman menghulur tangan memohon seribu kemaafan untuk semua kekhilafan maman kepada semua pembaca, handai taulan, rakan facebook dan rakan offline terutama yang maman tak dapat balas smsnya. Pendek kata untuk semua yang mengenali diri ini, Salam Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.

2 responses so far

2 Responses to “Hadiah Aidilfitri”

  1. Benon 02 Oct 2009 at 1:25 pm

    selamat hari raya mamam. kerja elok2 :-)

  2. shahon 31 Oct 2009 at 4:42 pm

    cepat cepat kawinnnnnn

Trackback URI | Comments RSS

Leave a Reply