Archive for the 'Cerita Agen' Category

Dec 28 2011

Selamat Tinggal 2011

Published by under Berakit ke hulu,Cerita Agen

Assalamualaikum.

Selamat Tinggal 2011.

Maman menulis entri ini menggunakan netbook yang mana  saiz papan kekuncinya sedikit kecil. Agak sedikit lambat menaip kerana kurang biasa. Baru tadi Dak Wan datang ambil laptop maman yang sudah beberapa lama tidak boleh digunakan. Kaput. Terima kasih Dak Wan yang akan format-semula dan juga memasang-semula perisian yang baru.

Namun, oleh kerana maman kena tulis sesuatu, apatah lagi 2011 sudah semakin ke penghujungnya, saat yang sangat signifikan untuk meninggalkan sesuatu catatan disini. Maka netbook yang sememangnya  menjadi ‘back-up’ selama ini maman keluarkan. Alhamdulillah ianya masih berfungsi.

Senario laptop rosak diganti netbook ini adalah salah satu konsep contoh mudah perlindungan takaful. Jika anda tidak boleh menjana pendapatan kerana sakit kritikal, perlindungan takaful sudah ada sebagai ‘back up’ menggantikan pendapatan yang hilang. Nampak persamaannya?

Baiklah, sebenarnya bukan itu yang maman ingin kongsi dalam entri ini. Entri kali ini sebenarnya sebagai penutup tirai untuk 2011. Blog yang pada awalnya sekadar tempat maman asah tabiat menulis, rupanya memainkan peranan yang agak penting juga dalam karier maman sebagai perunding takaful untuk tahun ini.

Walaupun boleh dikatakan blog ini tidaklah ramai yang berkunjung, sunyi daripada komen apatah lagi jumlah like, tetapi  ramai juga klien yang maman dapat dari sini. Lebih manis, sebahagian agen-agen dibawah seliaan maman juga lahir daripada pembaca-pembaca blog ini juga.( Esok pun maman akan daftar TBE untuk calon dari blog ini). Malahan ada juga rakan perunding yang bila bersua memberi maklumbalas sudah singgah membaca coretan disini. TERIMA KASIH kerana sokongan itu. Media baru, mungkin jika kena caranya memang berhasil.

Tahun ini Great Eastern Takaful menutup 2011 sedikit bergaya apabila telah berjaya menggondol anugerah Pengendali Takaful Baru Terbaik 2011 (2011 Best New Takaful Operator) oleh Islamic Business and Finance Awards 2011. Satu tanda aras buat pelanggan dan bakal-bakal pelanggan Great Eastern Takaful yang mementingkan kualiti disebalik polisi yang anda simpan didalam almari itu. Tahniah untuk pasukan Igreatfellas!.

Left to right: Robin Amlot, Managing Editor - CPI Financial, Zuwita Zaini - GETSB, En. Salihuddin Ahmad - CEO GETSB, Datuk Kamaruddin Taib - Chairman GETSB, En. Zafri Ab Halim - CFO GETSB, Abdulla Al Mansoori - Chairman CPI Financial.

Apabila mengenangkan rutin ke hulu ke hilir berjumpa klien tidak kira dirumah mereka, dipejabat, di kedai mamak,di kopitiam, di taman tasik pun ada. Tidak lagi dikira bakal pelanggan yang tidak muncul-muncul walaupun kita sudah terpacak ditempat temujanji, klien-klien yang liat membuat caruman bulanan. Mereka yang lari daripada menerima panggilan telefon kita. Email tidak berjawab. Block kita di FB kerana nak elakkan diri dari maman. Semuanya merupakan kenangan pahit yang menjadi manis apabila dikenang-kenangkan.

Demi sesungguhnya maman rasa tidak mahu untuk rekrut agen baru bila mengenangkan cabaran-cabaran kurang enak itu. Apatah lagi mahu memberitahu mereka perlu alami apa yang telah maman alami, tidak tergamak rasanya. Tetapi bila maman congak semula, untuk tahun 2011 ini maman telah berjaya membuat semua tuntutan yang dibuat oleh klien. Kebanyakkannya adalah claim medikal. Yang terakhir adalah tuntutan Elaun Hospital Harian (Daily Hospital Income) sebanyak RM7,900  yang maman telah bank in ke dalam akaun Public Bank klien. Setakat hari ini maman sudah selamatkan duit klien hampir mencecah berjumlah RM50,000 dalam bentuk tuntutan perubatan.

Melihat wajah-wajah mereka yang berterima kasih atas kerja yang telah maman lakukan, tidak ternilai. Jika anda pernah rasa puas dapat membantu orang lain, lebih kurang begitulah perasaan kami perunding takaful bila berjaya membuat tuntutan pelanggan. Kepuasan dalam kerjaya ini mengatasi semua cabaran-cabaran yang telah maman senaraikan diatas. Maman seolah-olah mahu anda semua merasa rasa itu. Melihat kejayaan mereka yang sudah lama dalam bidang ini pula memberikan satu keyakinan bahawa satu hari nanti maman akan berada dimana mereka berada sekarang.

Dari pengalaman peribadi ini , maman mula rekrut perunding-perunding takaful baru. Walaupun baru setahun jangung, maman menyaksikan bagaimana mudahnya perunding-perunding baru ini terkeluar daripada industri. Yang kekal vs yang hilang agak menarik juga jumlahnya. Maman belajar, sebenarnya tidak semua orang boleh menjadi perunding takaful yang baik. Jika anda sudah temui perunding yang bagus, kekalkanlah.

Walaupun begitu, terima kasih kepada Great Eastern Takaful kerana memberi pengiktirafan melalui STAR Awards (Special Takaful Agency Recognition) yang mana maman merupakan salah seorang penerima untuk ’2nd Runner Up’ kategori RECRUITER. Sangat banyak yang perlu dipelajari dan percayalah usaha bukannya sedikit dicurah. Walaubagaimanapun, usaha maman, jika mahu dibandingkan dengan mereka yang berjaya dalam industri ini umpama langit dan bumi jaraknya. Banyak lagi yang maman perlu lakukan.

Mulai detik itu, maman sangat percaya industri takaful ini adalah untuk mereka yang rajin dan kuat berusaha.

Malam pun sudah semakin pekat. Jam maman sudah 3:37 pagi. Esok insyaAllah maman akan pulang ke kampung halaman dan akan kembali ke Kuala Lumpur pada 1 Januari 2012. Disini juga bakal maman abadikan pengalaman untuk 2012 yang sudah pasti lebih segar. Maman akhiri catatan untuk tahun ini dengan ungkapan maaf jika ada terkasar bahasa dimana-mana juga, samada disini, di facebook atau di alam nyata. Begitu juga salah silap jika ada, maafkan saya.

Selamat Datang 2012.

Selamat Tahun Baru semua! InyaAllah, tahun ini kita semua akan lebih hebat.

2 responses so far

Dec 06 2011

Perspektif Seorang Perunding Takaful

Published by under Berakit ke hulu,Cerita Agen

Kalau anda boleh selam dalam kepala otak seorang perunding takaful, anda mungkin akan nampak pelbagai warna menarik. Penuh nuansa dalam pelbagai citra. Mungkin gelihati, mungkin takjub pun boleh jadi. Apapun mari kita ikuti dua sorotan menarik minggu lepas;

1. Ombak Rindu.

Nampaknya filem terbaru Osman Ali telah membanjiri pawagam dengan airmata. Ini bermakna laba bakal mencurah-curah masuk dalam kantung penerbit. Pendapat saya, filem ini berjaya menarik perhatian umum kerana ramuan sebagai sebuah cereka Melayu banyak ada dalam filem ini.

Bumbu cereka melayu memang tidak dapat lari daripada beberapa faktor berikut; wanita baik selalu hidup susah dan dugaan hidup bertimpa-timpa, airmata, cinta terhalang, perbezaan darjat,  ranjang, arak, kelab malam, lari dalam hujan, cinta tiga segi, adegan rogol dan golongon borjuis tidak terima kehadiran golongan marhaen dalam keluarga.

Jika cereka ini bakal dikembangkan ke siri dua atau tiga, mungkin rempahnya akan ditambah lebih banyak. Antara yang boleh diteka: Hariz boleh sahaja dimatikan wataknya dan saya mengambarkan anaknya bersama ibunya bakal berdepan dengan neneknya yang kejam, Mila pula mengandungkan cucu pilihan. Sudah tentu banyak adegan menyayat hati boleh dilahirkan daripada sini.  Untuk memancing penonton, ramuan berikut masih diperlukan seperti; anak derhaka, anak haram, masalah sosial spt rempit/tomboy/yg seangkatan,  ditambah sedikit kisah perebut harta keluarga anak-beranak, golongan korporat melayu berkereta mewah yang sasaran perniagaannya asyik mahu menjatuhkan sesama sendiri dan jangan lupa selitkan elemen-elemen mistik; sekurang-kurangnya pergi jumpa bomoh.

Dengan memaparkan semua ramuan ini dijangka khalayak akan dapat pengajaran seperti; Tabah dalam menghadapi dugaan hidup kerana setiap kesusahan pasti akan ada sinar kebahagian di hujungnya.

Yang saya SETUJU dalam filem ini (jempol/thumb up);

1. Jalan cerita mendidik wanita jangan mudah menyerah pada cabaran hidup.

2. Sentiasa minta pertolongan dari Allah, iman menjadi benteng yang boleh mencairkan hati insan lain.

2. Watak utamanya digambarkan sebagai seorang yg menjaga aurat.

3. Pelakon-pelakon nampak semulajadi.

4. Susunan muzik dan sinematografinya menyentuh perasaan.

Yang saya TIDAK setuju pula (thumb down);

1. Klasifikasi U sedangkan ada adegan ranjang. Sepatutnya filem sebaik ini tidak perlukan adegan mencolok mata, pengarah boleh tampil lebih kreatif untuk mengambarkannya jika mahu ianya menjadi U.

2. Kata-kata mencarut (yang boleh lagi diminimumkan atau ditiadakan). Rasa tidak sesuai apabila ada kanak-kanak terpaksa mencerna kata-kata seperti ‘Dasar Pelacur!’, ‘perempuan murahan’ dan sebagainya.

PENGAJARAN UNTUK KITA;

Sekiranya Pakcik Taha dalam filem ini sudah mengambil Kad Perubatan Great Eastern Takaful untuk isterinya, dia mungkin tidak perlu menjual Izzah di pusat hiburan malam. Pelan Kad Perubatan yang disertakan dengan manfaat penyakit kritikal mungkin boleh membantu mereka sekeluarga disaat getir itu. Kos pembedahan akan ditanggung oleh Kad Medikal ini. Sekiranya isteri Pakcik Taha meninggal selepas pembedahan, beliau akan dapat wang perlindungan takaful yang boleh membantu. Beliau mungkin tidak menerima tekanan perasaan hingga terpaksa melarikan diri dari kampung. Pemerdagangan orang seperti yang dialami Izzah tidak seharusnya menjadi pilihan.

Daripada pemerhatian saya, kurangnya kesedaran pengurusan kewangan telah melibatkan pelbagai masalah besar terjadi dalam masyarakat kita. Filem ini adalah antara contoh refleksi kisah masyarakat yang kita sendiri boleh baca dalam akhbar saban hari akibat masalah kewangan yang kritikal apabila berhadapan dengan dugaan kesihatan. Lihat juga bagaimana orang yang berduit seperti Haris mendapat rawatan kelas pertama di Columbia Hospital. Jika orang tidak berduit pula, dimana tempatnya?bagaimana layanan dan servisnya?.

Sedar ataupun tidak, kad medikal penting agar orang biasa juga berhak mendapatkan rawatan kelas pertama.

Harapnya dapatlah sedikit pengajaran untuk kita dalam hal ini.

P/S: Dah nama pun blog perunding insurans, jgn marah sbb saya ada selit pendidikan insurans sikit.

2. Harimau Malaya

Terlebih dahulu maman ucapkan Takziah kepada Apek sekeluarga yang baru sahaja kehilangan adiknya yang telah kembali ke Rahmatullah semalam akibat demam panas. Alfatihah.

Baru-baru ini rancangan tv Majalah Tiga (M3) membuat edisi istimewa tentang kebangkitan sukan bolasepak negara. Antara yang mendapat liputan adalah temuramah dengan jurulatih pasukan ini dan beberapa orang pemain negara. Jika anda belum saksikan dokumentari menarik ini, boleh mula lakukan carian diYoutube.

Antara yang mencuri tumpuan maman, Ong Kim Swee dalam temuramahnya ada menyatakan;

” Jika saya mengarahkan sesuatu, jika pemain tidak mengikut arahan saya, tidak mempunyai keinginan untuk memperbaiki diri sendiri, tidak guna. Yang mustahak adalah keinginan pemain itu untuk develop (menjadi) bertambah baik. Tugas saya adalah untuk mengasah bakat yang ada”

Maman sangat setuju dengan apa yang diutarakan oleh jurulatih berpengalaman ini. Dalam membentuk seorang perunding takaful juga elemen ini sangat diperlukan : KEINGINAN. Maman pernah dihubungi oleh seorang dari utara yang berminat mahu menjadi perunding takaful tetapi tidak yakin kerana jarak yang jauh mungkin menjejaskan proses dirinya untuk menjadi seorang perunding yang berjaya. Akhirnya beliau memilih agensi yang dekat. Semasa berbual ditelefon tempoh hari maman dapat rasa yang beliau dalam dilema. Ada beberapa perkara (agency culture) dalam agensi tersebut yang dirasai tidak berapa sesuai dengan dirinya.

Agensi penentu kejayaan? Mungkin ada benarnya, tetapi maman tidak melihat ianya sebagai satu batu penghalang. Kejayaan biasanya ditentukan oleh diri sendiri. Pendidikan, dari mana kita datang dan agensi mana kita masuk nampaknya bukan sebab yang utama dalam kejayaan seseorang. Itu semua adalah faktor pendorong yang mempercepatkan sahaja, selebihnya adalah sebesar mana keinginan (DESIRE) itu.

Maman saran kepada bakal perunding ini untuk solat istikharah, biar keputusan kita itu lebih mantap dihati.

Bila sudah yakin, teruskanlah. Tetapkan dalam hati bahawa benih yang baik, jika dicampak ke laut menjadi pulau, jika dicampak ke darat menjadi bukit.

Maman doakan akan berjumpa beliau dipuncak kejayaan. InsyaAllah.

No responses yet

Oct 30 2011

Phuket, bukan sekadar hiburan malam.

Published by under Cerita Agen,Travelog

Semalam semasa mesyuarat bulanan agensi Sayf Al Haq, maman diberi peluang satu slot untuk berkongsi pengalaman lawatan ke Phuket minggu lepas. Disebabkan ada beberapa rakan perunding separuh masa yang tidak dapat hadir, maka entri ini merupakan siaran ulangan sesi tersebut.

Lagipun beberapa  rakan facebook sudah muatnaik  foto-foto. Sekaligus mengimbas kembali memori manis berada disana selama 4 hari 3 malam bersama jaguh-jaguh Great Eastern yang telah sempurnakan 2011 Sabai-Sabai 2 Contest. Jumlah keseluruhan peserta kali ini dianggarkan dalam kurang lebih seribu orang, yang telah diterbangkan secara berperingkat.

Masih segar, malam itu disaat camar sudah lena disarang masing-masing, kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket. Ahli rombongan yang disambut manis oleh 2 gadis tempatan sedia tersenyum berpakaian tradisional dengan formasi salam gaya Thailand kelihatan ceria. Lalu setiap daripada kami dikalungkan rantai cengkerang laut. Kain rentang ucapan tahniah dan  selamat datang memenuhi satu sudut terbuka, yang rupanya bukan hanya direntang dilapangan terbang, tetapi juga di hotel dan tempat persinggahan makan sepanjang lawatan. Bahkan sebelum itu, ucapan pengumuman tahniah dari dalam perut pesawat MAS lagi telah membuatkan masing-masing teruja.

Inilah permulaan untuk meneroka pulau yang bernama PHUKET.

The Royal Paradise Hotel and Spa

The Royal Paradise Hotel and Spa

The Royal Paradise Hotel and Spa menjadi pilihan inap selama 4 hari ini. Hotel yang menyediakan beberapa jenis makanan halal ini terletak di tengah-tengah kesibukan Patong Beach, menjadikannya lokasi paling strategik bagi kami menjelajah kawasan sekitar hanya berjalan kaki. Apatah lagi pusat-pusat urutan kaki dan spa yang bagaikan cendawan lepas hujan itu sudah pasti girang menyambut kedatangan kami yang mahu melepaskan lelah dan meregangkan urat setelah seharian membeli belah dan berjalan.

Disini, kira-kira dua jam perjalanan darat + 1 jam perjalan laut, peserta diberi kesempatan meneroka sendiri keindahan Phi Phi Island yang disebut-sebut kerana tarikan terumbu karangnya. Sudah pasti peluang aktiviti snorkling tidak dilepaskan. Di pulau ini juga peserta dijamu dengan makanan asli Thailand bersaksikan bayu pantai. Apatah lagi dikala perut kosong selepas bermain dengan karangan laut dan ikan multiwarna. Lazat!

Maman percaya, momen yang tidak dilupakan adalah malam Gala Dinner di Phuket FantaSea. Taman Tema mini ini terletak di Kamala Beach kira-kira 45 minit daripada Patong Beach. Selain makanannya yang sukar dilupakan (juga kerana susunan makanannya yang sejauh mata memandang),  menghirup air fanta yang berwarna warni itu membuatkan maman teringat pula zaman kanak-kanak dahulu. Sekarang sukar untuk menjumpai air bersoda Fanta ini di negara kita. Secara kasar, Phuket FantaSea adalah satu taman tema unik. Antara tarikannya adalah Palace of the Elephant.  Persembahan pentas di Palace of The Elephant ini pasti tidak dapat anda saksikan ditempat lain.

Jika tidak di sini, dimana lagi anda boleh menyaksikan GAJAH anak beranak bergabung tenaga dengan manusia, ayam, kambing dan burung merpati dilatih mempersembahkan satu persembahan pentas extravaganza?. Jika anda tidak kagum (mungkin kerana jalan cerita yang sukar dicerna), sekurang-kurangnya pasti hadir rasa hairan. Bagaimana mereka melatih haiwan-haiwan ini berteater?.  Comel pula menonton ayam-ayam yang beratur melintasi pentas. Apabila diadun dan dikareograf  kemas bersama-sama tarian asli Thai + moden, aksi-aksi akrobatik, kostum yang menawan, set yang hebat dan dentuman mecun serta bunga api, ianya MAGIKA!. Sudah pasti momen ini kekal terpahat dalam memori setiap peserta walaupun tiada gambar dapat ditangkap kerana kamera tidak halal dibawa masuk.

Phuket yang dahulunya bernama Buket (bukit) masih membawa imej Thailand yang tidak boleh lari dengan barangan replika jenama terkenal. Baju, beg dan pelbagai barangan lagi boleh diperolehi mudah disana sini. Tersalah pilih anda pasti menyangka ianya asli. Berhati-hati juga kerana banyak juga wanita replika disini.

Pulau yang dikisahkan sebagai tempat asal usul Mahsuri (dimana keturunan ke-7 Mahsuri pun mendapat jodoh dengan ahli perniagaan disini) ini hanya mula meriah apabila hari mula merangkak malam, menyajikan seribu satu jenis hiburan. Sehinggakan, permainan ping pong pun ada juga lewat malam begini. Antara salah satu tempat yang paling sibuk adalah di Bangla Road. Dibanjiri pelancong yang semakin ramai jumlahnya apabila malam semakin lewat, Bangla Road sememangnya nyata tidak tidur. Disini seperti nadi hab hiburan malam yang sebenar.

Ping Pong terkenal di Phuket, antara aktiviti kegemaran pengunjung di pantai hinggalah ke Bangla Road, siang mahupun malam

Melihat kemeriahan yang menjalar dipulau ini, seperti tidak percaya bahawa disinilah berlakunya bencana besar tsunami pada 2004. Kami diberitahu pusat hiburan disini sangat penting hinggakan hanya sehari selepas tsunami, pusat-pusat ini sudah kembali beroperasi. Letih menyaksikan kesibukan aksi pelancong dan pekerja industri hiburan malam  ini terkinja-kinja, kami mengambil keputusan untuk ke pantai. Benar, jika anda ketepikan faktor hiburan, sebenarnya banyak lagi perkara istimewa yang membuatkan hati anda tertambat di sini. Carilah.

Dari beranda bilik hotel. Sudut yang sama jika anda melihat kebanyakan klip amatur Tsunami di Youtube.

Merehatkan diri di persisir pantai diwaktu malam sebenarnya lebih menenangkan. Sambil menikmati jagung bakar yang dibeli di gerai tepi jalan menghala ke pantai, kelihatan percikkan bunga api ditembak memecah langit gelap. Ada sekumpulan pengunjung melepaskan tanglung-tanglung yang terbang tinggi sehingga perlahan-lahan hilang dari pandangan. Oh! Pemandangan pantai malam paling sempurna untuk dinikmati.

Untuk menitipkan setiap itinerari disana seperti lawatan ke kilang gajus (chesnut), kilang tshirt, kedai cenderamata dan sebagainya mungkin bakal menyebabkan entri ini panjang lebar, maka bingkisan ini sekadar coretan rasa yang maman percaya  ianya tidak dapat mengambarkan pengalaman rasa yang sebenar. Anda  perlu alami sendiri. Walaupun anda boleh bila-bila masa sahaja terbang ke sini tetapi ianya tidak sama jika pergi secara berkumpulan. Apatah lagi jika yang pergi bersama itu adalah nama-nama besar yang telah mengukir prestij dan sejarah tersendiri di Great Eastern. Walaupun maman agak canggung (mungkin kekok kerana baru pertama kali) tetapi pengalaman ini adalah TIDAK TERNILAI.

Terima Kasih Great Eastern!

Pose wajib jika berlibur secara berkumpulan

Travel can also be the spirit of adventure somewhat tamed, for those who desire to do something they are a bit afraid of. – Ella Maillart

Nota kaki : Anda boleh menikmati percutian PERCUMA*ini setiap tahun sekiranya anda merupakan agen takaful/insurans Great Eastern. Daftar sekarang. Selain Phuket, destinasi Great Eastern pada tahun ini adalah Guangzhou, Abu Dhabi/Dubai dan Paris/Amsterdam. *mengikut terma dan syarat

Salam iGreat,

Maman solleh 2011 Great Eastern Sabai-Sabai 2 Qualifier, Phuket, Thailand

No responses yet

Next »