Archive for the 'CurHatKu' Category

Jan 22 2012

Kehilangan orang tersayang, apabila ejen takaful mencelah.

Published by under Berakit ke hulu,CurHatKu

Status terbaru saya di FB, antaranya;

“ Narrated by Anas bin Malik (r. a), the Holy Prophet (s. a. w) told a Bedouin Arab who left his camel untied trusting to the will of Allah (s. w. t): Tie the camel first and then leave it to Allah (s. w. t)” (at-Timirdzi).

Ikat unta dulu, baru berserah. Sediakan payung sebelum hujan. Malang tidak berbau. Semua menggambarkan bagaimana peranan takaful kepada kita semua. Tapi rupanya ada yang tidak sependapat.

***

Tidak apalah kalau ada yang nak marah pun. Bagi yang kata perunding insurans/takaful ini suka ambil kesempatan atas kesedihan orang lain akibat kehilangan orang tersayang atau yang idap penyakit kritikal, maka biarlah. Mulut tempayan boleh lah kita tutup. Mulut orang?.

Dahulu pernah  maman kena sindir oleh rakan sendiri kerana menurutnya adalah perbuatan keji jika maman mempromosikan perlindungan takaful dengan menjaja cerita kematian dan sakit kritikal. Asyik mahu kritik, kawan yang kritik itu pun sampai hari ini tidak ada apa-apa perlindungan takaful termasuk kad perubatan.

Apa yang kami, perunding takaful ni mahu sampaikan adalah ambil perlindungan sekarang. SEGERA. Jangan tunggu sehingga musibah datang. Itu sahaja. Ambil kejadian orang-orang yang meninggal muda ini sebagai iktibar. Bila kita ambil contoh orang sakit, bukan kami nak kata padan muka sakit, tapi kami mahu yang tidak sakit lagi ini ambil iktibar ambil medical card ketika masih sihat. Jika sudah sakit tidak ada mana-mana syarikat insurans/takaful mahu layan.

Akhir-akhir ini ramai orang terkenal yang mati muda. Yang tak terkenal pun ramai juga. Tetapi ramai yang tidak dapat mesej disebalik senario ini. Apa yang boleh kita jadikan iktibar dalam menangani risiko yang PASTI akan terjadi kepada semua orang ini?. Semua orang akan mati. Itu satu bentuk risiko yang sudah tentu. Yang tidak tahu hanya bila sahaja. Jika ada yang muda belia dihadapan kita dijemput terlebih dahulu, sampai bilakah kita mahu memberi alasan ‘tidak bersedia’ dalam mendapatkan pelan perlindungan takaful anda? sampai bila?

Ramai perunding takaful yang memberi maklumbalas bahawa untuk mendidik orang melayu tentang insurans/takaful ini mencabar. Ramai yang tidak ambil peduli dan ramai yang ambil mudah. Ada yang berkongsi pengalaman, ada seorang klien dia sudah claim beribu ringgit akibat kemalangan,  rakan baik kepada klien ini tetap tidak mahu ambil medical card walaupun cek tuntutan itu sudah berada di hadapan matanya. Mahu cakap apa lagi jika jumpa orang kita jenis mentaliti seperti ini?.

Maka itulah perunding takaful ini wujud kerana kerja mendidik itu tidak mudah. Kalau semua orang berebut-rebut mahu ambil pelan takaful maka peranan perunding takaful ini sudah pasti tiada lagi.

Nasihat saya, jangan takut dengan perunding takaful. Sebenarnya, tidak ada apa yang perlu ditakuti. Perunding inilah yang sepatutnya anda dekati. Tanya perkara yang anda rasa perlukan penjelasan. Perunding takaful tidak boleh memaksa anda ambil pelan mereka. Tahukah anda jika kami ambil mereka yang tidak sedia menjadi klien (contohnya dengan push customer) dan mereka menjadi klien yang tidak meneruskan caruman, sebenarnya kami akan dikenakan penalti. Sebolehnya kami perunding takaful pun mahu elakkan daripada mengmbil klien yang separuh masak seperti ini yang kelak bakal menyebabkan kami terpaksa membayar penalti yang bukan sedikit. Jadi, tiada istilah anda perlu takut dengan perunding takaful, sepatutnya perkara sebaliknya berlaku.

Iktibarnya disini, perunding takaful sebenarnya adalah orang yang sabar. Maman tabik kepada semua perunding insurans dan takaful seluruh Malaysia.  Usaha anda banyak atau sedikit maman sangat hargai dalam membentuk rakyat yang celik takaful. Semoga diberikan kekuatan, kesihatan dan rezeki yang melimpah ruah oleh Allah swt.

Selamat bercuti panjang semua. Dan selamat menyambut Tahun Baru Cina kepada yang menyambutnya.

No responses yet

Aug 28 2011

Kesayangan Allah dan Rasulullah.

Published by under CurHatKu

Maman tiba-tiba teringat kata-kata yang pernah dilontarkan oleh Ustaz Fauzi semasa beliau datang di Great Eastern untuk memberikan ‘talk’ sebelum kedatangan bulan Ramadhan dahulu. Beliau mengatakan, mulianya kerja sebagai agen takaful ini ialah apabila anda adalah orangnya yang akan membantu keluarga yang ditimpa kesusahan. Anda membantu anak-anak yatim yang kehilangan ayah dan anda membantu ibu tunggal yang kehilangan suami. Maman ringkaskan lebih kurang begini, apabila klien kita yang merupakan ketua keluarga meninggal, kitalah orangnya yang akan menghulurkan cek RM100,000 (sebagai contoh) kepada waris untuk anak yang telah menjadi anak yatim dan isteri yang telah berstatus ibu tunggal untuk meneruskan kehidupan. Susunan yang sangat indah dan mulia bukan?.

Namun, dalam maman sentiasa mendoakan semua klien maman dikurniakan panjang umur dan sentiasa sihat, dalam hidup kita ini, berpisah dengan orang tersayang kerana bercerai nyawa pasti akan terjadi. Hanya bila dan bagaimana yang kita tidak pasti. Apabila detik itu datang, satu saat pun tidak boleh kita anjakkan.

Maman kehilangan ayah, Allahyarham Tuan Haji Mahfoz, ketika maman sudah mencecah usia 20 tahun.  Setiap kali syawal menjelma, ketiadaan beliau amat terasa.

Namun begitu, kehilangan tersebut tidak mungkin setanding jika beliau pergi meninggalkan maman tatkala usia masih kanak-kanak. Bagaimanakah agaknya gambaran hari-hari yang terpaksa ditempuh? Bagaimana membuat persiapan raya tanpa seorang bapa? Bagaimanakah rasanya jika tidak berpeluang dipimpin oleh ayah kandung ke masjid menunaikan solat sunat aidilfitri sedari kecil lagi?

Bagaimana pula jika kita yang pergi dahulu meninggalkan anak dan isteri?

Bagaimanakah kocak rasa yang ditinggalkan?

Antaranya begitulah perasaan yang meresap bila maman menjejakan kaki di  PERTUBUHAN KEBAJIKAN DAN PENDIDIKAN ASNAF MURNI ( Rumah Asnaf Murni) yang terletak di Taman Nusari Bayu 2, Bandar Sri Sendayan
Seremban 2 Negeri Sembilan. Rumah ini didiami oleh anak-anak yatim dan ibu tunggal.

Inisiatif kumpulan We Heart All telah membawa maman kesini. Kami meluangkan masa untuk membawa anak-anak membeli pakaian raya baru dan persiapan Aidilfitri bagi anak-anak yang dikurniakan Allah hati yang tabah ini.

Setiap peserta akan membawa seorang atau dua anak untuk bershopping. Adik Saiful dan Naseem berusia 7 tahun diserahkan dibawah jagaan maman.

Menggengam tangan kecil mereka dan melayan sendiri kelatah mereka semasa meminta dibelikan baju raya, kasut raya Ben10, spek mata, jersi bola, t-shirt dan melihat mereka begitu seronok, maman pasti anda juga akan mudah tersentuh. Ada juga yang terkencing dalam seluar pun ada (mujur anak jagaan yang terkencing, bukan yang membawa). Nah, kini anak-anak ini bakal tampil bergaya Aidilfitri ini tidak kalah seperti rakan-rakannya yang lain. :)

Selesai membeli belah, tengahari itu maman pulang ke KL dengan doa semoga anak-anak kesayangan Allah itu dipermudahkan perjalanan hidupnya.

Menulis entri ini bukan untuk tunjuk baik, tetapi sebagai satu seruan buat semua yang membaca blog maman untuk mengambil bahagian kerana masih ramai insan diluar sana yang kita perlu lihat dengan mata hati.  Walaupun selama ini kita sudah banyak saksikan di kaca tv dan dada akhbar, tetapi mungkin sekadar cebisan berita yang jarang kita ambil serius dan berlalu serentak dengan masa. Kalaupun mereka tidak minta simpati tetapi perhatian kita sedikit sebanyak, maman percaya mengubat sedikit  serpihan-serpihan kasih yang hilang disaat-saat ianya sangat diperlukan. Maman ada tips mudah, terbitkan rasa ‘bagaimana jika ia berlaku pada darah daging sendiri?’. Jika anda berminat dan tidak mahu dimana anda ingin mulakan, sertai FB kami di We Heart All. Mungkin ada perkongsian pengalaman dari ahli yang lain dapat membuka hati anda.

Lagipun bukankah kita juga telah tahu bahawa Nabi Muhammad sendiri adalah anak yatim. Anak-anak yatim dan fakir miskin adalah anak-anak kesayangan Allah dan Rasullullah.

Rasulullah saw bersabda : ”Siapa yang memakaikan seorang anak pakaian yang indah dan mendandaninya pada hari raya, maka Allah SWT akan mendandani/menghiasinya pada hari Kiamat. Allah SWT mencintai terutama setiap rumah, yang di dalamnya memelihara anak yatim dan banyak membagi-bagikan hadiah. Barangsiapa yang memelihara anak yatim dan melindunginya, maka ia akan bersamaku di surga.”

Nabi juga menjanjikan bagi mereka yang membelai rambut anak yatim dengan ganjaran yang banyak.  Sabda beliau : “Barang siapa yang membelai rambut anak yatim, maka setiap rambut yang diusapnya menjadi kebaikan baginya. Dan barang siapa yang berbuat baik kepada anak yatim baik lelaki maupun perempuan, aku akan bersamanya di syurga sebagaiman dua jari ini”. (H.R Ahmad dan lainnya).

Wallahualam.

Selamat Menyambut Aidilfitri, Maaf  Zahir dan Batin.

4 responses so far

Jun 09 2011

Hidup ini singkat

Published by under CurHatKu

No responses yet

Next »