Archive for the 'Cerita Agen' Category

Oct 19 2009

Separuh bulan…

Published by maman under Cerita Agen, CurHatKu

Maman sudah lama berlatih untuk menerima konsep “Kita tidak mungkin dapat SEMUA yang kita inginkan”.

Dari kecil, kita tidak mungkin dapat semua mainan yang kita mahukan. Semasa belajar, kita tidak mungkin dapat pergi ke semua tempat belajar yang kita angan-angankan. Semasa jatuh cinta (hehe ada ke), kita mungkin tidak diterima oleh semua orang yang kita dambakan. Semasa bekerja, kita mungkin tidak dapat semua kerjaya yang kita idamkan. Maman fikir ianya sudah cukup untuk mengajar maman tentang rezeki dan takdir. Rupa-rupanya maman masih lagi belum mangli.

Sudah hampir separuh bulan maman berasak dengan gelombang hidup seorang penasihat insurans. Dalam tempoh ini, maman tahu jalannya adalah tidak mudah. Dan maman jangan sekali-kali tunduk dengan keadaan. Tekad itu maman tanam dalam-dalam.

Pendek kata, walaupun maman ketandusan sales kerana tiada lagi case closed, maman tetap cuba dan cuba.

“Saya ada parent, semakin hari mereka semakin tua. Adalah menjadi impian setiap ibu bapa mahu untuk melihat anaknya berjaya dalam kerja dan juga hidup. Ini yang akan menyebabkan mereka berasa tenang dan tidak risau lagi tentang masa depan anaknya. Kerana itulah setiap kali memikirkan berkenaan ini akan membuatkan saya gigih untuk buat satu lagi panggilan, dan berjumpa seorang lagi bakal pelanggan. Saya mahu memastikan parent saya dapat melihat kejayaan saya sebelum mereka menutup mata buat selamanya”

Kata-kata daripada speaker yang maman hadiri ‘talk’nya pada hari pertama maman turn Fulltime itu terulang tayang dalam kepala ini. Kata-kata yang menyuntik inspirasi kepada lebih kurang 1000 agen yang hadir pada hari itu termasuk maman.
 
Dalam masa-masa awal pembabitan ini, ramai agen yang berpengalaman menekankan agar maman mulakan dengan membina habit yang betul. Sebab itu, dalam maman masih lagi menyesuaikan diri dengan rentak time freedom, maman seboleh-bolehnya akan buat new appointment setiap hari. Maman juga cuba membiasakan diri dengan jadual baru ini dengan penuh displin.

Maman cuba buang jauh-jauh kebimbangan-kebimbangan yang datang sepertimana maman lemaskan kebimbangan yang pernah tenggelam timbul semasa maman membuat keputusan berhenti dahulu. Ketika itu apa yang maman pahatkan kepada diri sendiri adalah;

“I will. I will climb this mountain. They told me it is too high, too far, too steep, too rocky and too difficult. But it’s my mountain. I will climb it. You will soon see me waving from the top or dead on the side from trying.”

Setinggi mana gunung, kalau kita berjaya mendaki puncaknya. Ianya akan berada dibawah kaki kita.

Dan dalam proses ini maman betul-betul belajar satu erti hidup: Hidup ini adalah sukar.

6 responses so far

Oct 03 2009

Finally…

Published by maman under Cerita Agen, CurHatKu

30 Sept 2009 adalah harinya.

Satu perasaan yang luar biasa sekali apabila maman melangkah keluar daripada pejabat kerana ini adalah hari terakhir maman bergelar sebagai kakitangan PMB. Juga melepaskan jawatan Penolong Pengurus yang sudah hampir memasuki tahun ke 3.

Maman hilang kata-kata untuk mengambarkan keseluruhan rasa ketika itu. Bukan seronok, bukan juga sedih dan bukan juga menyesal. Semuanya diadun menjadi satu. Seperti anda pindah ke rumah baru, masuk ketempat baru adalah mudah. Tetapi untuk meninggalkan yang lama pada maman adalah sukar. Ada satu rasa tidak mahu meninggalkan kerana setiap perkara yang ada dipejabat ada nostalgia yang tersendiri. namun maman terpaksa unload semua perasaan berat itu. Yang pasti kenangan dan kawan-kawan adalah yang maman tidak akan leraikan sampai bila-bila.

Sehingga sedikit gegaran bencana alam yang maman tiba-tiba rasa dianggap oleh maman pening kepala kerana menakung rasa berat hati untuk meninggalkan. Rupa-rupanya memang itu gegaran gempa bumi yang berlaku di Indonesia.

Malam itu maman adalah kakitangan yang paling lewat pulang. Seperti biasa, maman tutup semua lampu pejabat. Pintu utama pejabat itu maman kunci dan punch out. Dan syahdu menyusup bila mengenang ini adalah kebiasaan yang terakhir. Rakan-rakan yang mengucapkan selamat tinggal dan bermaaf-maafan siang tadi silih berganti menerpa dalam kotak ingatan.

Semasa memandu pulang kerumah daripada tempat kerja lama, itu adalah saat yang sangat lapang yang maman TIDAK AKAN LUPAKAN. Landskap dan neon disepanjang jalan terasa begitu indah.Sebelum ini, memandu pulang kerumah tidak pernah merasa nikmat seperti ini.

Semasa hampir sampai kerumah, ada satu mini pesta yang berlaku di kawasan business centre berhadapan LRT cahaya itu. Tanglung dipasang disepanjang kawasan ini. Mungkin mereka sedang meraikan pesta tanglung, detik hati ini. Tiba-tiba, maman mendengar dentuman seperti meriam. Dalam tidak sampai beberapa saat, langit malam yang hitam disimbahi bunga api pelbagai formasi dan rona warna. Berselang-selang dengan jeritan penonton yang berhimpun.

Pertunjukan bunga api itu melengkapkan perasaan gembira dan bebas yang menjalar disetiap nadi yang susah untuk maman ungkapkan.

***

P/S: Dari pegalaman ini, maman percaya setiap individu berhak untuk merasa kebebasan dalam diri sendiri, Ini juga merupakan sebab yang paling besar kenapa maman menceburi bidang insurans ini. Jika anda tertekan dengan kerja anda sekarang, bidang yang maman ceburi ini BERUPAYA membantu ANDA untuk BEBAS dan anda boleh menjalani hidup seperti yang anda mahukan.

Jika anda bersedia untuk membebaskan diri anda daripada perangkap kerja anda sekarang, maman disini bersedia untuk bersama-sama dengan anda untuk kita sama-sama memulakan kembara kejayaan ini.

Success is NOT a destination,its the journey.

6 responses so far

Sep 12 2009

Loan Kereta Pt.2

Published by maman under Cerita Agen, CurHatKu

“Astagfirullah”

Itulah ayat pertama kakak yang keluar dari corong telefon itu bila maman menerangkan panjang lebar rahsia yang perlu kakak tahu.

Maman bergerak perlahan kearah tangga, mengelak daripada rakan pejabat terdengar perbualan ini. Lagipun aktiviti jual beli dipejabat menganggu kosentrasi maman untuk mendengar suara kakak yang sememangnya kurang jelas.

“Jadi, masa balik kampung haritu maman dah berhenti kerja lah yea?”. Mamang mengangguk, seolah-olah seperti kakak dapat melihat.

“kenapa maman berhenti?” Ada rasa kecewa menyusup dalam suaranya.

maman menarik nafas panjang lalu menerangkan panjang lebar rasional disebalik keputusan ini. Dan juga kenapa maman memilih untuk mendiamkan perkara ini daripada pengetahuan keluarga.

Ketika ini maman mendengar kakak sudah teresak. Dia menangis.

“Habis tu, sekarang maman ada duit tak? makan? kereta semua tu?”. Hati maman gerimis.

“Ada, jangan risau. Lagipun kak, bukankah rezeki itu Tuhan yang tentukan. Kita kenalah percaya, bahagian rezeki seseorang tidak akan diambil oleh orang lain. Kalau ada usaha takkanlah tak ada hasilnya.” maman cuba mententeramkan kebimbangannya.

Dan nampaknya kakak semakin okay bila maman meneruskan perbualan. Kami juga sepakat untuk tidak beritahu emak sehinggalah tiba masa yang sesuai nanti. Sebelum talian itu maman tamatkan, kakak sempat berkata;

“Tak apelah kalau macam tu, maman buat apa yang maman rasa terbaik untuk diri maman. Kalau ada apa-apa bagitahu kakak tau, kalau macam tu kakak tak jadilah ambil kereta. Repair je mana yang boleh”

Ditangga itu, entah darimana tiba-tiba sayu menjengah dihati. Mengundang Gerimis.

tangga.jpg

2 responses so far

Next »