Archive for December, 2011

Dec 28 2011

Selamat Tinggal 2011

Published by under Berakit ke hulu,Cerita Agen

Assalamualaikum.

Selamat Tinggal 2011.

Maman menulis entri ini menggunakan netbook yang mana  saiz papan kekuncinya sedikit kecil. Agak sedikit lambat menaip kerana kurang biasa. Baru tadi Dak Wan datang ambil laptop maman yang sudah beberapa lama tidak boleh digunakan. Kaput. Terima kasih Dak Wan yang akan format-semula dan juga memasang-semula perisian yang baru.

Namun, oleh kerana maman kena tulis sesuatu, apatah lagi 2011 sudah semakin ke penghujungnya, saat yang sangat signifikan untuk meninggalkan sesuatu catatan disini. Maka netbook yang sememangnya  menjadi ‘back-up’ selama ini maman keluarkan. Alhamdulillah ianya masih berfungsi.

Senario laptop rosak diganti netbook ini adalah salah satu konsep contoh mudah perlindungan takaful. Jika anda tidak boleh menjana pendapatan kerana sakit kritikal, perlindungan takaful sudah ada sebagai ‘back up’ menggantikan pendapatan yang hilang. Nampak persamaannya?

Baiklah, sebenarnya bukan itu yang maman ingin kongsi dalam entri ini. Entri kali ini sebenarnya sebagai penutup tirai untuk 2011. Blog yang pada awalnya sekadar tempat maman asah tabiat menulis, rupanya memainkan peranan yang agak penting juga dalam karier maman sebagai perunding takaful untuk tahun ini.

Walaupun boleh dikatakan blog ini tidaklah ramai yang berkunjung, sunyi daripada komen apatah lagi jumlah like, tetapi  ramai juga klien yang maman dapat dari sini. Lebih manis, sebahagian agen-agen dibawah seliaan maman juga lahir daripada pembaca-pembaca blog ini juga.( Esok pun maman akan daftar TBE untuk calon dari blog ini). Malahan ada juga rakan perunding yang bila bersua memberi maklumbalas sudah singgah membaca coretan disini. TERIMA KASIH kerana sokongan itu. Media baru, mungkin jika kena caranya memang berhasil.

Tahun ini Great Eastern Takaful menutup 2011 sedikit bergaya apabila telah berjaya menggondol anugerah Pengendali Takaful Baru Terbaik 2011 (2011 Best New Takaful Operator) oleh Islamic Business and Finance Awards 2011. Satu tanda aras buat pelanggan dan bakal-bakal pelanggan Great Eastern Takaful yang mementingkan kualiti disebalik polisi yang anda simpan didalam almari itu. Tahniah untuk pasukan Igreatfellas!.

Left to right: Robin Amlot, Managing Editor - CPI Financial, Zuwita Zaini - GETSB, En. Salihuddin Ahmad - CEO GETSB, Datuk Kamaruddin Taib - Chairman GETSB, En. Zafri Ab Halim - CFO GETSB, Abdulla Al Mansoori - Chairman CPI Financial.

Apabila mengenangkan rutin ke hulu ke hilir berjumpa klien tidak kira dirumah mereka, dipejabat, di kedai mamak,di kopitiam, di taman tasik pun ada. Tidak lagi dikira bakal pelanggan yang tidak muncul-muncul walaupun kita sudah terpacak ditempat temujanji, klien-klien yang liat membuat caruman bulanan. Mereka yang lari daripada menerima panggilan telefon kita. Email tidak berjawab. Block kita di FB kerana nak elakkan diri dari maman. Semuanya merupakan kenangan pahit yang menjadi manis apabila dikenang-kenangkan.

Demi sesungguhnya maman rasa tidak mahu untuk rekrut agen baru bila mengenangkan cabaran-cabaran kurang enak itu. Apatah lagi mahu memberitahu mereka perlu alami apa yang telah maman alami, tidak tergamak rasanya. Tetapi bila maman congak semula, untuk tahun 2011 ini maman telah berjaya membuat semua tuntutan yang dibuat oleh klien. Kebanyakkannya adalah claim medikal. Yang terakhir adalah tuntutan Elaun Hospital Harian (Daily Hospital Income) sebanyak RM7,900  yang maman telah bank in ke dalam akaun Public Bank klien. Setakat hari ini maman sudah selamatkan duit klien hampir mencecah berjumlah RM50,000 dalam bentuk tuntutan perubatan.

Melihat wajah-wajah mereka yang berterima kasih atas kerja yang telah maman lakukan, tidak ternilai. Jika anda pernah rasa puas dapat membantu orang lain, lebih kurang begitulah perasaan kami perunding takaful bila berjaya membuat tuntutan pelanggan. Kepuasan dalam kerjaya ini mengatasi semua cabaran-cabaran yang telah maman senaraikan diatas. Maman seolah-olah mahu anda semua merasa rasa itu. Melihat kejayaan mereka yang sudah lama dalam bidang ini pula memberikan satu keyakinan bahawa satu hari nanti maman akan berada dimana mereka berada sekarang.

Dari pengalaman peribadi ini , maman mula rekrut perunding-perunding takaful baru. Walaupun baru setahun jangung, maman menyaksikan bagaimana mudahnya perunding-perunding baru ini terkeluar daripada industri. Yang kekal vs yang hilang agak menarik juga jumlahnya. Maman belajar, sebenarnya tidak semua orang boleh menjadi perunding takaful yang baik. Jika anda sudah temui perunding yang bagus, kekalkanlah.

Walaupun begitu, terima kasih kepada Great Eastern Takaful kerana memberi pengiktirafan melalui STAR Awards (Special Takaful Agency Recognition) yang mana maman merupakan salah seorang penerima untuk ’2nd Runner Up’ kategori RECRUITER. Sangat banyak yang perlu dipelajari dan percayalah usaha bukannya sedikit dicurah. Walaubagaimanapun, usaha maman, jika mahu dibandingkan dengan mereka yang berjaya dalam industri ini umpama langit dan bumi jaraknya. Banyak lagi yang maman perlu lakukan.

Mulai detik itu, maman sangat percaya industri takaful ini adalah untuk mereka yang rajin dan kuat berusaha.

Malam pun sudah semakin pekat. Jam maman sudah 3:37 pagi. Esok insyaAllah maman akan pulang ke kampung halaman dan akan kembali ke Kuala Lumpur pada 1 Januari 2012. Disini juga bakal maman abadikan pengalaman untuk 2012 yang sudah pasti lebih segar. Maman akhiri catatan untuk tahun ini dengan ungkapan maaf jika ada terkasar bahasa dimana-mana juga, samada disini, di facebook atau di alam nyata. Begitu juga salah silap jika ada, maafkan saya.

Selamat Datang 2012.

Selamat Tahun Baru semua! InyaAllah, tahun ini kita semua akan lebih hebat.

2 responses so far

Dec 06 2011

Perspektif Seorang Perunding Takaful

Published by under Berakit ke hulu,Cerita Agen

Kalau anda boleh selam dalam kepala otak seorang perunding takaful, anda mungkin akan nampak pelbagai warna menarik. Penuh nuansa dalam pelbagai citra. Mungkin gelihati, mungkin takjub pun boleh jadi. Apapun mari kita ikuti dua sorotan menarik minggu lepas;

1. Ombak Rindu.

Nampaknya filem terbaru Osman Ali telah membanjiri pawagam dengan airmata. Ini bermakna laba bakal mencurah-curah masuk dalam kantung penerbit. Pendapat saya, filem ini berjaya menarik perhatian umum kerana ramuan sebagai sebuah cereka Melayu banyak ada dalam filem ini.

Bumbu cereka melayu memang tidak dapat lari daripada beberapa faktor berikut; wanita baik selalu hidup susah dan dugaan hidup bertimpa-timpa, airmata, cinta terhalang, perbezaan darjat,  ranjang, arak, kelab malam, lari dalam hujan, cinta tiga segi, adegan rogol dan golongon borjuis tidak terima kehadiran golongan marhaen dalam keluarga.

Jika cereka ini bakal dikembangkan ke siri dua atau tiga, mungkin rempahnya akan ditambah lebih banyak. Antara yang boleh diteka: Hariz boleh sahaja dimatikan wataknya dan saya mengambarkan anaknya bersama ibunya bakal berdepan dengan neneknya yang kejam, Mila pula mengandungkan cucu pilihan. Sudah tentu banyak adegan menyayat hati boleh dilahirkan daripada sini.  Untuk memancing penonton, ramuan berikut masih diperlukan seperti; anak derhaka, anak haram, masalah sosial spt rempit/tomboy/yg seangkatan,  ditambah sedikit kisah perebut harta keluarga anak-beranak, golongan korporat melayu berkereta mewah yang sasaran perniagaannya asyik mahu menjatuhkan sesama sendiri dan jangan lupa selitkan elemen-elemen mistik; sekurang-kurangnya pergi jumpa bomoh.

Dengan memaparkan semua ramuan ini dijangka khalayak akan dapat pengajaran seperti; Tabah dalam menghadapi dugaan hidup kerana setiap kesusahan pasti akan ada sinar kebahagian di hujungnya.

Yang saya SETUJU dalam filem ini (jempol/thumb up);

1. Jalan cerita mendidik wanita jangan mudah menyerah pada cabaran hidup.

2. Sentiasa minta pertolongan dari Allah, iman menjadi benteng yang boleh mencairkan hati insan lain.

2. Watak utamanya digambarkan sebagai seorang yg menjaga aurat.

3. Pelakon-pelakon nampak semulajadi.

4. Susunan muzik dan sinematografinya menyentuh perasaan.

Yang saya TIDAK setuju pula (thumb down);

1. Klasifikasi U sedangkan ada adegan ranjang. Sepatutnya filem sebaik ini tidak perlukan adegan mencolok mata, pengarah boleh tampil lebih kreatif untuk mengambarkannya jika mahu ianya menjadi U.

2. Kata-kata mencarut (yang boleh lagi diminimumkan atau ditiadakan). Rasa tidak sesuai apabila ada kanak-kanak terpaksa mencerna kata-kata seperti ‘Dasar Pelacur!’, ‘perempuan murahan’ dan sebagainya.

PENGAJARAN UNTUK KITA;

Sekiranya Pakcik Taha dalam filem ini sudah mengambil Kad Perubatan Great Eastern Takaful untuk isterinya, dia mungkin tidak perlu menjual Izzah di pusat hiburan malam. Pelan Kad Perubatan yang disertakan dengan manfaat penyakit kritikal mungkin boleh membantu mereka sekeluarga disaat getir itu. Kos pembedahan akan ditanggung oleh Kad Medikal ini. Sekiranya isteri Pakcik Taha meninggal selepas pembedahan, beliau akan dapat wang perlindungan takaful yang boleh membantu. Beliau mungkin tidak menerima tekanan perasaan hingga terpaksa melarikan diri dari kampung. Pemerdagangan orang seperti yang dialami Izzah tidak seharusnya menjadi pilihan.

Daripada pemerhatian saya, kurangnya kesedaran pengurusan kewangan telah melibatkan pelbagai masalah besar terjadi dalam masyarakat kita. Filem ini adalah antara contoh refleksi kisah masyarakat yang kita sendiri boleh baca dalam akhbar saban hari akibat masalah kewangan yang kritikal apabila berhadapan dengan dugaan kesihatan. Lihat juga bagaimana orang yang berduit seperti Haris mendapat rawatan kelas pertama di Columbia Hospital. Jika orang tidak berduit pula, dimana tempatnya?bagaimana layanan dan servisnya?.

Sedar ataupun tidak, kad medikal penting agar orang biasa juga berhak mendapatkan rawatan kelas pertama.

Harapnya dapatlah sedikit pengajaran untuk kita dalam hal ini.

P/S: Dah nama pun blog perunding insurans, jgn marah sbb saya ada selit pendidikan insurans sikit.

2. Harimau Malaya

Terlebih dahulu maman ucapkan Takziah kepada Apek sekeluarga yang baru sahaja kehilangan adiknya yang telah kembali ke Rahmatullah semalam akibat demam panas. Alfatihah.

Baru-baru ini rancangan tv Majalah Tiga (M3) membuat edisi istimewa tentang kebangkitan sukan bolasepak negara. Antara yang mendapat liputan adalah temuramah dengan jurulatih pasukan ini dan beberapa orang pemain negara. Jika anda belum saksikan dokumentari menarik ini, boleh mula lakukan carian diYoutube.

Antara yang mencuri tumpuan maman, Ong Kim Swee dalam temuramahnya ada menyatakan;

” Jika saya mengarahkan sesuatu, jika pemain tidak mengikut arahan saya, tidak mempunyai keinginan untuk memperbaiki diri sendiri, tidak guna. Yang mustahak adalah keinginan pemain itu untuk develop (menjadi) bertambah baik. Tugas saya adalah untuk mengasah bakat yang ada”

Maman sangat setuju dengan apa yang diutarakan oleh jurulatih berpengalaman ini. Dalam membentuk seorang perunding takaful juga elemen ini sangat diperlukan : KEINGINAN. Maman pernah dihubungi oleh seorang dari utara yang berminat mahu menjadi perunding takaful tetapi tidak yakin kerana jarak yang jauh mungkin menjejaskan proses dirinya untuk menjadi seorang perunding yang berjaya. Akhirnya beliau memilih agensi yang dekat. Semasa berbual ditelefon tempoh hari maman dapat rasa yang beliau dalam dilema. Ada beberapa perkara (agency culture) dalam agensi tersebut yang dirasai tidak berapa sesuai dengan dirinya.

Agensi penentu kejayaan? Mungkin ada benarnya, tetapi maman tidak melihat ianya sebagai satu batu penghalang. Kejayaan biasanya ditentukan oleh diri sendiri. Pendidikan, dari mana kita datang dan agensi mana kita masuk nampaknya bukan sebab yang utama dalam kejayaan seseorang. Itu semua adalah faktor pendorong yang mempercepatkan sahaja, selebihnya adalah sebesar mana keinginan (DESIRE) itu.

Maman saran kepada bakal perunding ini untuk solat istikharah, biar keputusan kita itu lebih mantap dihati.

Bila sudah yakin, teruskanlah. Tetapkan dalam hati bahawa benih yang baik, jika dicampak ke laut menjadi pulau, jika dicampak ke darat menjadi bukit.

Maman doakan akan berjumpa beliau dipuncak kejayaan. InsyaAllah.

No responses yet

Dec 01 2011

Salam Maal Hijrah 1433

Published by under Uncategorized

BERKENAAN TAHUN BARU DAN HAJI

Salam maal hijrah!

Semasa mesyuarat agensi semalam, menarik apabila sekali lagi doa awal tahun dibaca mengambil barakah tahun baru maal hijrah. Maman percaya semua yang berada pada mesyuarat tersebut jika hayati bait-bait kata yang melengkapi doa itu pasti memberi makna tersendiri.

Tahun Baru ini juga lembaran baru agensi Sayf Al Haq yang bergabung dengan F1G, yang merupakan hibrid beberapa agensi. Tahun baru, semangat baru!

Sehari sebelum mesyuarat itu, maman baru sahaja pulang dari kampung jadi cerita-cerita dari ibu maman yang baru pulang dari menunaikan haji masih segar.

Sedikit nota, seiring dengan masa, Mekah semakin moden kini. Mekah semasa arwah ayah tunaikan haji tidak lagi sama keadaannya semasa ibu tunaikan haji. Pencakar langit (termasuk deretan hotel lima bintang) yang di bina sekitar Masjidil Haram dengan Royal Mecca Clock Tower menjadi titik fokal, memberi isyarat bahawa kapitalisme seakan memamah tinggalan sejarah. Lokasi rumah Siti Khadijah, isteri pertama Nabi Muhammad SAW sudah bertukar menjadi blok tandas. Banyak lagi tinggalan sejarah yang bakal dimusnahkan ekoran pembangunan pesat oleh pemerintah monarki Arab Saudi.

 

Walau apapun, maman sudah gambarkan diri ini akan menjejakan kaki ke tanah suci suatu masa nanti. Semua orang maman percaya berkongsi impian yang sama. Semua umat islam pasti akan kesana seperti yang telah disyariatkan. Namun begitu, ianya tertakluk kepada beberapa perkara (semoga dipermudahkan olehNya);

1) Giliran.

Jika anda berminat untuk tunai haji melalui Lembaga Tabung Haji, daftar segera kerana jika anda daftar pada hari ini, giliran anda mungkin pada tahun 2030.

2) Usia.

InsyaAllah jika usia panjang, dapat kita menjadi tetamu Allah. Jika kita sudah kembali ke rahmatuallah tanpa sempat menunaikan haji, waris kita akan menunaikan haji untuk kita. Namun begitu, atas tuntutan hidup yang semakin mencabar, adalah baik untuk kita memastikan sendiri yang upah haji bakal dibuat tanpa mengharap kepada waris kita. Salah satu cara ialah dengan mencarum di iGreatAmal, perserta program ini memperolehi kemudahan badal haji sebagai salah satu manfaat dalam program ini. Badal haji adalah satu faedah dimana syarikat akan melakukan upah haji untuk anda.Malah bukan itu sahaja, manfaat lain adalah seperti yang boleh anda baca disini.

3) Simpanan.

Wang diperlukan untuk tunai haji saya percaya bakal bertambah saban tahun. Apatah lagi dengan segala kemudahan disana yang sedang giat dinaik taraf oleh kerajaan saudi.  Ini bermakna lagi banyak wang anda, lagi selesa anda disana. Jika banyak wang yang sudah diperuntukkan disana, bagaimana anda rancang untuk sara hidup selepas tunai haji?. Peserta iGreatAmal, selain daripada memperoleh faedah badal haji, juga menerima faedah tunai yang boleh dikeluarkan selepas sahaja tempoh pelan berakhir. Duit ini boleh anda gunakan untuk pelbagai tujuan termasuk sebagai simpanan persaraan.

4) Kesihatan.

Tak perlu cakap banyak, kesihatan adalah kekayaan. Health is Wealth

5) Tawakal.

Apapun yang kita sudah rancang, Allah juga yang tentukan samada kita berjaya ataupun tidak untuk ke sana. Niat, perancangan dan doa harus dibuat seiring. InsyaAllah.

CERITA KLIEN DAN AYAM-AYAMNYA.

Selepas mesyuarat itu, maman bergegas ke KL Sentral kerana ada temujanji dengan klien untuk serah dokumen polisi. Walaupun klien ini menghantar wakil beliau, namun pertemuan 15 minit itu memberi banyak pengajaran pada saya.

Maman belum lagi menjadi seorang perunding takaful yang hebat, menjadi serba salah pula apabila klien kata ‘kita jual ayam sahaja, bukan macam orang jual insurans’.  Itu jawapan apabila maman tanya beliau apa bisnes yang sedang beliau usahakan sekarang.

Beliau pada hemat maman sekadar mahu merendah diri, mungkin agar perbualan tidak terlalu protokol. Walaupun beliau tidak kenal maman dan hanya mewakilkan rakan niaga untuk ambil polisi sahaja, tetapi sudi bercerita serba sedikit tentang perniagaan yang beliau jalankan. Hanya kerana rakannya adalah klien maman.

Walaupun menjual ayam, beliau mempunyai 10 cawanngan di beberapa taman perumahan. Setiap taman mempunyai kepadatan 500 orang. Sasaran jualan hanya 10% iaitu 50 orang yang menjadi pelanggannya setiap hari. Jika seekor ayam kampung berharga RM18, sehari jualan adalah RM RM18 x50 = 900. Jika dikali dengan 10 cawangan, jualan sehari adalah RM9000. Gerai hanya berbentuk kiosk sahaja.

Bunyi bising orang makan tengahari tidak menghalang maman untuk fokus kepada cerita beliau yang bertambah menarik.

“Kita tak perlu menjadi tan sri jika mahu menjadi jutawan” katanya lagi. Beliau juga menerangkan bagaimana insurans/takaful sebenarnya lebih mudah dijual berbanding ayam. Dan seharusnya maman sepatutnya lebih berjaya dari sekarang.

“Semuanya bermula dari hati, jika awak masih bekerja untuk komisen. Selamanya awak akan tertekan”. Beliau juga memberi satu sikap berfikir yang mana dengan sedikit perubahan pada apa yang kita fikirkan boleh memberi perubahan yang sangat besar kepada tindakan. Mungkin disebabkan pengalaman beliau yang sudah mula berniaga sejak berusia 15 tahun (dan menjadi tauke pada usia 17 tahun), apa yang beliau cerita pada hari itu sangat terkesan pada maman. InsyaAllah dilain entri maman akan kupas perbualan tersebut dengan lebih terperinci.

Hari itu semasa menaiki LRT pulang ke Great Eastern, ketika LRT meluncur laju dari satu stesyen ke satu stesyen menyelusuri celah-celah bangunan tinggi Kuala Lumpur, maman mencatatkan semua butir-butir perbualan dalam jurnal sebelum terlupa apabila sudah mula melakukan aktiviti lain.

No responses yet