Oct 30 2011
Phuket, bukan sekadar hiburan malam.
Semalam semasa mesyuarat bulanan agensi Sayf Al Haq, maman diberi peluang satu slot untuk berkongsi pengalaman lawatan ke Phuket minggu lepas. Disebabkan ada beberapa rakan perunding separuh masa yang tidak dapat hadir, maka entri ini merupakan siaran ulangan sesi tersebut.
Lagipun beberapa rakan facebook sudah muatnaik foto-foto. Sekaligus mengimbas kembali memori manis berada disana selama 4 hari 3 malam bersama jaguh-jaguh Great Eastern yang telah sempurnakan 2011 Sabai-Sabai 2 Contest. Jumlah keseluruhan peserta kali ini dianggarkan dalam kurang lebih seribu orang, yang telah diterbangkan secara berperingkat.
Masih segar, malam itu disaat camar sudah lena disarang masing-masing, kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket. Ahli rombongan yang disambut manis oleh 2 gadis tempatan sedia tersenyum berpakaian tradisional dengan formasi salam gaya Thailand kelihatan ceria. Lalu setiap daripada kami dikalungkan rantai cengkerang laut. Kain rentang ucapan tahniah dan selamat datang memenuhi satu sudut terbuka, yang rupanya bukan hanya direntang dilapangan terbang, tetapi juga di hotel dan tempat persinggahan makan sepanjang lawatan. Bahkan sebelum itu, ucapan pengumuman tahniah dari dalam perut pesawat MAS lagi telah membuatkan masing-masing teruja.
Inilah permulaan untuk meneroka pulau yang bernama PHUKET.
The Royal Paradise Hotel and Spa menjadi pilihan inap selama 4 hari ini. Hotel yang menyediakan beberapa jenis makanan halal ini terletak di tengah-tengah kesibukan Patong Beach, menjadikannya lokasi paling strategik bagi kami menjelajah kawasan sekitar hanya berjalan kaki. Apatah lagi pusat-pusat urutan kaki dan spa yang bagaikan cendawan lepas hujan itu sudah pasti girang menyambut kedatangan kami yang mahu melepaskan lelah dan meregangkan urat setelah seharian membeli belah dan berjalan.
Disini, kira-kira dua jam perjalanan darat + 1 jam perjalan laut, peserta diberi kesempatan meneroka sendiri keindahan Phi Phi Island yang disebut-sebut kerana tarikan terumbu karangnya. Sudah pasti peluang aktiviti snorkling tidak dilepaskan. Di pulau ini juga peserta dijamu dengan makanan asli Thailand bersaksikan bayu pantai. Apatah lagi dikala perut kosong selepas bermain dengan karangan laut dan ikan multiwarna. Lazat!
Maman percaya, momen yang tidak dilupakan adalah malam Gala Dinner di Phuket FantaSea. Taman Tema mini ini terletak di Kamala Beach kira-kira 45 minit daripada Patong Beach. Selain makanannya yang sukar dilupakan (juga kerana susunan makanannya yang sejauh mata memandang), menghirup air fanta yang berwarna warni itu membuatkan maman teringat pula zaman kanak-kanak dahulu. Sekarang sukar untuk menjumpai air bersoda Fanta ini di negara kita. Secara kasar, Phuket FantaSea adalah satu taman tema unik. Antara tarikannya adalah Palace of the Elephant. Persembahan pentas di Palace of The Elephant ini pasti tidak dapat anda saksikan ditempat lain.
Jika tidak di sini, dimana lagi anda boleh menyaksikan GAJAH anak beranak bergabung tenaga dengan manusia, ayam, kambing dan burung merpati dilatih mempersembahkan satu persembahan pentas extravaganza?. Jika anda tidak kagum (mungkin kerana jalan cerita yang sukar dicerna), sekurang-kurangnya pasti hadir rasa hairan. Bagaimana mereka melatih haiwan-haiwan ini berteater?. Comel pula menonton ayam-ayam yang beratur melintasi pentas. Apabila diadun dan dikareograf kemas bersama-sama tarian asli Thai + moden, aksi-aksi akrobatik, kostum yang menawan, set yang hebat dan dentuman mecun serta bunga api, ianya MAGIKA!. Sudah pasti momen ini kekal terpahat dalam memori setiap peserta walaupun tiada gambar dapat ditangkap kerana kamera tidak halal dibawa masuk.
Phuket yang dahulunya bernama Buket (bukit) masih membawa imej Thailand yang tidak boleh lari dengan barangan replika jenama terkenal. Baju, beg dan pelbagai barangan lagi boleh diperolehi mudah disana sini. Tersalah pilih anda pasti menyangka ianya asli. Berhati-hati juga kerana banyak juga wanita replika disini.
Pulau yang dikisahkan sebagai tempat asal usul Mahsuri (dimana keturunan ke-7 Mahsuri pun mendapat jodoh dengan ahli perniagaan disini) ini hanya mula meriah apabila hari mula merangkak malam, menyajikan seribu satu jenis hiburan. Sehinggakan, permainan ping pong pun ada juga lewat malam begini. Antara salah satu tempat yang paling sibuk adalah di Bangla Road. Dibanjiri pelancong yang semakin ramai jumlahnya apabila malam semakin lewat, Bangla Road sememangnya nyata tidak tidur. Disini seperti nadi hab hiburan malam yang sebenar.

Ping Pong terkenal di Phuket, antara aktiviti kegemaran pengunjung di pantai hinggalah ke Bangla Road, siang mahupun malam
Melihat kemeriahan yang menjalar dipulau ini, seperti tidak percaya bahawa disinilah berlakunya bencana besar tsunami pada 2004. Kami diberitahu pusat hiburan disini sangat penting hinggakan hanya sehari selepas tsunami, pusat-pusat ini sudah kembali beroperasi. Letih menyaksikan kesibukan aksi pelancong dan pekerja industri hiburan malam ini terkinja-kinja, kami mengambil keputusan untuk ke pantai. Benar, jika anda ketepikan faktor hiburan, sebenarnya banyak lagi perkara istimewa yang membuatkan hati anda tertambat di sini. Carilah.

Dari beranda bilik hotel. Sudut yang sama jika anda melihat kebanyakan klip amatur Tsunami di Youtube.
Merehatkan diri di persisir pantai diwaktu malam sebenarnya lebih menenangkan. Sambil menikmati jagung bakar yang dibeli di gerai tepi jalan menghala ke pantai, kelihatan percikkan bunga api ditembak memecah langit gelap. Ada sekumpulan pengunjung melepaskan tanglung-tanglung yang terbang tinggi sehingga perlahan-lahan hilang dari pandangan. Oh! Pemandangan pantai malam paling sempurna untuk dinikmati.
Untuk menitipkan setiap itinerari disana seperti lawatan ke kilang gajus (chesnut), kilang tshirt, kedai cenderamata dan sebagainya mungkin bakal menyebabkan entri ini panjang lebar, maka bingkisan ini sekadar coretan rasa yang maman percaya ianya tidak dapat mengambarkan pengalaman rasa yang sebenar. Anda perlu alami sendiri. Walaupun anda boleh bila-bila masa sahaja terbang ke sini tetapi ianya tidak sama jika pergi secara berkumpulan. Apatah lagi jika yang pergi bersama itu adalah nama-nama besar yang telah mengukir prestij dan sejarah tersendiri di Great Eastern. Walaupun maman agak canggung (mungkin kekok kerana baru pertama kali) tetapi pengalaman ini adalah TIDAK TERNILAI.
Terima Kasih Great Eastern!
Travel can also be the spirit of adventure somewhat tamed, for those who desire to do something they are a bit afraid of. – Ella Maillart
Nota kaki : Anda boleh menikmati percutian PERCUMA*ini setiap tahun sekiranya anda merupakan agen takaful/insurans Great Eastern. Daftar sekarang. Selain Phuket, destinasi Great Eastern pada tahun ini adalah Guangzhou, Abu Dhabi/Dubai dan Paris/Amsterdam. *mengikut terma dan syarat
Salam iGreat,









